fbpx

17 Oktober 2021, 9:05 pm

  TERKINI

Singapura tidak terdesak buka sempadan, rakyat Malaysia belanja RM14 bilion di sana

S. DAYALAN mengadakan sidang akhbar di pejabat Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor, di Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan Singapura didakwa ‘tidak terdesak’ membuka sempadan Malaysia-Singapura di negeri ini kerana negara republik itu sedang mendapat limpahan ekonomi hasil perbelanjaan rakyat Malaysia yang kini ‘terkurung’ di sana.

Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor, S. Dayalan berkata, sejak sempadan itu ditutup akibat pandemik Covid-19, dianggarkan sebanyak RM14 bilion wang yang sepatutnya dibelanjakan di Malaysia telah dibelanjakan di Singapura.

Menurutnya, berdasarkan statistik terkini, terdapat seramai 215,000 rakyat Malaysia yang masih bekerja di negara berkenaan.

“Disebabkan mereka tidak dapat pulang, jadi mereka perlu berbelanja di Singapura untuk menyara diri dengan anggaran SGD1,500 atau RM4,650 sebulan mengikut tukaran mata wang terkini.

“Berdasarkan kiraan itu, dalam tempoh setahun dianggarkan rakyat Malaysia di Singapura telah membelanjakan kira-kira SGD4.5 bilion atau bersamaan kira-kira RM14 bilion,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan laluan darat paling sibuk di dunia telah ditutup sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu ekoran Covid-19.

Sehubungan itu, Dayalan memberitahu, kerajaan Malaysia khususnya Johor perlu mendesak agar sempadan berkenaan dibuka dengan segera.

“Ketika sempadan itu ditutup dahulu, dunia masih belum tahu bagaimana ancaman Covid-19 dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

“Kini setelah setahun lebih, semua pihak sudah sedar akan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi selain majoriti rakyat kedua-dua negara sudah divaksin.

“Pembukaan sempadan itu bukan sahaja akan memberi kelegaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi juga membawa limpahan ekonomi kepada negara ini,” ujarnya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memberitahu Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor bersetuju mengangkat cadangan SOP pembukaan sempadan Malaysia-Singapura untuk Pengaturan Perjalanan Harian (DCA) kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Hasni dilaporkan berkata, SOP itu akan dikemukakan untuk menilai persediaan membenarkan pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik sekiranya keputusan pembukaan semula sempadan mencapai kata sepakat. 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI