Sindiket menyamar pegawai kerajaan kaut RM57 juta - Utusan Malaysia

Sindiket menyamar pegawai kerajaan kaut RM57 juta

Mohd. Kamaruddin Md. Din
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA :  Sebanyak 1,421 kes penipuan berkaitan penyamaran pegawai kerajaan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kerugian RM57 juta.

Sindiket ini akan menjerat mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pegawai mahkamah, pegawai kastam dan pegawai Kementerian Kesihatan menerusi panggilan telefon.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket penipuan ini dikesan akan menghubungi mangsa dengan mendakwa mereka terlibat dengan kegiatan jenayah.

“Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu akan diarahkan menyerahkan maklumat perbankan seperti kata laluan, ID pengguna, nombor kad perbankan dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada sindiket dengan alasan untuk siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd Kamarudin, mangsa juga diarahkan memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga iaitu keldai akaun yang kononnya milik pegawai bank negara bagi tujuan siasatan.

“Mangsa dijanjikan wang berkenaan akan dikembalikan selepas beberapa hari. Namun mangsa menyedari ditipu selepas wang yang dipindahkan lesap.

“Polis ingin mengingatkan orang ramai bahasa pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon terutama membabitkan siasatan jabatan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin mengingatkan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan nombor akaun kata laluan perbankan atau jumlah wang dalam akaun bank juga tidak akan diminta menerusi panggilan telefon.

“Dalam usaha untuk mencegah kes-kes sebegini dari terus berlaku, polis menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berurusan melalui panggilan telefon.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak berkongsi maklumat kewangan atau perbankan kepada mana-mana pihak bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN