PUTRAJAYA: Pembukaan sektor pelancongan domestik yang dibuat secara berperingkat mengikut fasa dapat memberi sinar buat penggiat industri pelancongan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk menyemarakkan kembali industri yang lama terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 memandangkan pulau itu terasing.
Bagaimanapun, kata beliau, faktor itu juga memudahkan urusan pemantauan, selain dipilih kerana mempunyai kekuatannya tersendiri seperti ada rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.
“Sekiranya projek rintis Langkawi ini berjalan dengan jayanya, saya percaya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong kerana seeing is believing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembukaan sektor pelancongan di lain-lain destinasi di bawah program travel bubble berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan termasuk apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.
Menurut Nancy, pembukaan sektor pelancongan projek rintis Pulau Langkawi bermula 16 September ini adalah satu berita gembira bukan sahaja kepada kementerian, malah penggiat industri yang turut melibatkan pekerja yang lama terjejas teruk berikutan penutupan hotel dan restoran di pulau peranginan tersebut akibat pandemik.
“Berita gembira ini juga membolehkan Pelan Pemulihan Pelancongan yang digariskan kementerian dilaksanakan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE