PETALING JAYA: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyindir kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR di Selangor dan Negeri Sembilan berhubung kemelut yang melanda Menteri Besar di kedua-dua negeri tersebut.
Shahril Sufian secara sinis mengucapkan ‘syabas’ kepada keprihatinan PH Selangor dan Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari yang bermesyuarat bersama rakan komponen lain setelah beberapa hari membisu ekoran terbongkarnya penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) secara senyap-senyap pada Mei lalu.
“Dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Pengerusi PH Selangor yang kebetulan juga Menteri Besar Selangor berjanji membawa isu ini kepada Menteri Besar Selangor serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
“Kerajaan PH Selangor sendiri yang nyahwarta hutan, semua parti ada wakil dalam Exco kerajaan negeri dan mustahil tidak tahu keputusan nyahwarta pada bulan Mei. Setelah kecoh, mereka sendiri acah bantah keputusan yang dibuat. Tiada mohon maaf, tiada mengaku terkhilaf,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Kerajaan Negeri Selangor pada 5 Mei lalu memutuskan kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 dan disahkan pada 19 Mei.
Sementara itu, Shahril Sufian berkata, lain pula dengan situasi Negeri Sembilan apabila kepemimpinan PKR negeri hilang kepercayaan terhadap Pengerusi PKR Negeri Sembilan merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun setelah dikatakan gagal memainkan peranan usaha memperkukuhkan jentera partimenghadapi pilihan raya dan boleh menyebabkan kekalahan PH.
“Parti lain sibuk menyalurkan bantuan, memberikan vaksinasi dan berusaha untuk membawa Malaysia keluar dari situasi terkini. PH? Bermesyuarat menolak keputusan yang diri sendiri buat, dan bermesyuarat jatuhkan Menteri Besar daripada parti sendiri,” katanya.
Semalam, sekumpulan pemimpin PKR negeri itu semalam yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dengan mendakwa Menteri Besar itu gagal menyusun strategi untuk mengukuhkan PH dan kekal menjadi kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE