Shafie beri sebab Warisan tidak tandatangan MoU dengan kerajaan

Shafie beri sebab Warisan tidak tandatangan MoU dengan kerajaan

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menghuraikan beberapa sebab Parti Warisan Sabah (Warisan) membuat keputusan untuk tidak menandatangan memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong, Shafie mempersoalkan mengapa pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan kerajaan yang dibentuk melalui Langkah Sheraton, sekali gus menjatuhkan kerajaan yang mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kita melihat kerangka adanya mandat rakyat dan peralihan kerajaan berlaku kerana Langkah Sheraton, ini mandat yang dicuri. Tetapi sekarang kita bekerjasama dengan mereka, menandatangani memorandum dengan mereka, di mana nilai kita sebagai pemimpin politik?

“Yang menjadi punca kepada MoU ini juga adalah disebabkan ketidakstabilan politik, ini yang kata jumlah tak cukup, kita bermain nombor untuk nyawa manusia. Kita adalah negara yang tidak mengira bangsa dan agama, kita boleh bersatu tetapi kerana kuasa, kita didorong oleh ketamakan dan nafsu untuk dapatkan kedudukan. Saya boleh sahaja ada di sana jika saya nak tetapi itu bukan nilai diri saya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Shafie juga mempertahankan pendirian partinya berhubung MoU antara kerajaan dan pembangkang.

“Adakah tanpa menandatangani MoU ini, maka kita tak pentingkan rakyat? Adakah tak tandatangan, jadi kita tak pentingkan negara?

“Kita boleh berbahas, saya boleh bagi sumbangan sepenuhnya sekiranya rang undang-undang dapat dimeterai, tapi apakah kandungannya? Contohnya, Undi18, ini dah diluluskan dalam Parlimen masa pemerintahan dulu, MA63 pun dah bentuk jawatankuasa, berapa banyak pasukan teknikal perlu dibentuk?” soalnya.

Bagaimanapun, Shafie memberi jaminan akan memberi kerjasama sekiranya kandungan dalam MoU itu dapat dilaksanakan dengan segera.

“Insya-Allah, untuk kepentingan negara, jika memorandum ini diperlukan untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam dokumen itu, saya akan sokong tetapi kalau tak boleh, ini akan menjejaskan kerjasama tersebut.

“Saya tak nak bila kerajaan hari ini gagal, bila saya tandatangan memorandum itu saya pun akan gagal. Rakyat sedang melihat kedudukan pemerintahan negara ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya