Sempadan sesuai dibuka bila Johor masuk Fasa 3 PPN - Utusan Malaysia

Sempadan sesuai dibuka bila Johor masuk Fasa 3 PPN

CHE Zakaria Mohd. Salleh menyampaikan barangan keperluan harian yang dibeli dengan harga murah dalam satu program jualan amal di Permas Jaya, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura untuk ulang alik harian paling sesuai dilaksanakan apabila negeri ini memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, waktu itu adalah masa terbaik dengan kerajaan Persekutuan perlu memulakan rundingan bersama Singapura berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, Johor yang beralih ke Fasa 2 Jumaat lalu sudah bersedia untuk pembukaan sempadan dan sekiranya semua garis panduan dipenuhi, perkara itu akan menjadi asas kukuh untuk membuka sempadan sepenuhnya.

“Ini ditambah dengan penyertaan kerajaan negeri secara langsung dalam jawatankuasa teknikal yang membincangkan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura, segala data yang diperoleh kerajaan Johor akan dapat membantu.

“Justeru, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh membuat penilaian risiko pembukaan sempadan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas Program Jualan Amal di Permas Jaya di sini, hari ini.

Sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia telah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.

Sabtu lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, Johor akan terlibat secara langsung dalam jawatankuasa teknikal membabitkan perbincangan isu pembukaan sempadan, dan prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan berhubung pergerakan rentas sempadan.

Tambah Che Zakaria, Singapura dan Malaysia terutama Johor masing-masing mempunyai kepentingan untuk pembukaan sempadan itu kerana banyak pelaburan republik itu berada di negeri ini manakala ramai rakyat Johor bekerja, bersekolah dan menetap di Singapura.

Sementara itu, berkenaan program jualan amal tersebut, Che Zakaria berkata, program anjuran Skuad Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Perantau JB menawarkan barangan asas seperti ayam, telur, gula dan sayur kepada orang ramai dengan harga RM10 sahaja.

“Program ini adalah lanjutan program pemberian bakul makanan untuk penduduk B40 di daerah ini dalam usaha membantu meringankan beban mereka terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Hari ini kita tawarkan 500 set barang makanan itu untuk penduduk B40 di Permas Jaya dan Plentong dengan harga RM10. Program ini kita buat setiap minggu dan peruntukan ini adalah daripada Menteri Besar.

“Kita berterima kasih kepada Menteri Besar atas keprihatinannya yang merasai denyut nadi kesusahan rakyat, peruntukan yang kita terima iaitu RM300,000 untuk kawasan Permas,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya