GEORGETOWN: Penduduk Pulau Pinang dikhuatiri berdepan pencemaran air mentah seperti menimpa pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor sekiranya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dikekalkan di lokasi berhampiran dengan tebing Sungai Muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, PBAPP bersimpati dengan pengguna air di Kuala Lumpur dan Selangor berikutan masalah bekalan air mereka.
“Kami tidak mahu menghadapi masalah sama di masa depan kerana KXP, aerotropolisnya atau projek pembangunan lain yang membahayakan perkhidmatan bekalan air yang baik.
“Untuk meminimumkan risiko berulang, semua tebing sungai sumber air mentah utama di Malaysia harus ditetapkan dengan jelas, dilindungi dan dikawal sebagai kawasan akses terhad,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan fasa pertama projek KXP yang bernilai RM6 bilion dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat.
Menurut Jaseni, orang ramai atau aktiviti yang tidak dibenarkan perlu dilarang atau berdekatan dengan kawasan tebing sungai yang menjadi sumber air mentah.
Katanya, peraturan itu mesti dilaksanakan secara konsisten, tanpa rasa takut atau pilih kasih dan sebagai langkah pencegahan tambahan, hukuman bagi pencemaran sumber air mentah perlu dikaji semula agar lebih ketat.
”Ia perlu menggambarkan implikasi jenayah yang membahayakan kesihatan dan kesejahteraan berjuta-juta penduduk yang bergantung kepada bekalan air yang baik setiap hari,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga ingin mengulangi gesaan kepada Kerajaan Pusat agar tidak meluluskan projek pembangunan tanah baharu bersebelahan dengan Sungai Muda.
”Pencegahan adalah lebih baik daripada penyembuhan untuk mengelakkan pencemaran air mentah di Pulau Pinang dan selatan Kedah.
“Adalah tidak rasional dan tidak logik bagi penduduk Pulau Pinang untuk menerima risiko dan ancaman bekalan air yang ditimbulkan oleh projek ini,” katanya.
Jaseni berkata, apa yang lebih penting adalah tiada mana-mana pihak yang mahu air sisa disalurkan dengan sengaja ke sumber air mentah utama mereka. – UTUSAN ONLINE