PETALING JAYA: Cadangan memperkenal dan membentangkan satu Usul Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli Parlimen 2021 disifatkan sebagai ‘satu langkah ke arah yang betul’ dan perlu dilakukan dengan komprehensif.
Ketua Pemuda UMNO Merbok, Aizat Azam berkata, ini kerana bagi menangani isu lompat parti, recall election adalah cara yang lebih progresif hanya sekiranya undang-undang ini digubal secara teratur dan menyeluruh.
Katanya, rang undang-undang tersebut perlu diberi penekanan dalam beberapa perkara, antaranya Peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 10 dan 48 perlu dipinda terlebih dahulu dipinda sebelum undang-undang tersebut boleh diperkenal dan digubal.
“Malah, isu-isu keperlembagaan yang dibangkit dan dipertimbangkan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v Nordin Bin Salleh & Anor [1992] 1 MLJ 697 harus diambil kira dalam penggubalan undang-undang tersebut.
“Bagaimanapun, undang-undang tersebut perlu diperuntukkan satu threshold jelas dan prosedur yang tidak begitu rumit bagi memudahkan akses kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka di bawah undang-undang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, undang-undang tersebut juga perlu dihadkan hanya bagi menangani isu lompat parti.
“Pencetus (‘trigger’) kepada penggunapakaian undang-undang tersebut mesti digubal dalam perkataan yang sangat jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau penyalahgunaan (‘abuse’) oleh mana-mana pihak di masa hadapan,” tegasnya.
Tambat Aizat, penggubalan undang-undang tersebut dapat mengembalikan kuasa memilih ahli Parlimen kepada rakyat adalah satu langkah progresif ke arah membina negara yang lebih demokratik.
“Ia satu langkah yang konsisten dengan prinsip ‘of the people, for the people, by the people’.
“Kita sedar bahawa proses penggubalan undang-undang tersebut akan mengambil masa tetapi ianya langkah penting untuk bergerak ke hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE