RMK-12: Kurangkan ketidaksetaraan gaji - Utusan Malaysia

RMK-12: Kurangkan ketidaksetaraan gaji

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu menumpukan kepada usaha mengurangkan ketidaksetaraan melalui gaji yang lebih tinggi dan jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh. 

Itu antara lapan perkara utama yang dicadangkan ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming, bersama penyelidik ekonomi Institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa), Frederik Paulus dan Jaideep Singh dalam kenyataan bersama.

Justeru, Refsa menegaskan keperluan segera membuat kajian menyeluruh jaringan keselamatan sosial termasuk mengimbangi bantuan kewangan untuk mereka yang hanya memenuhi syarat, memperluas skim bantuan pengangguran dalam populasi lebih besar dan melaksanakan sistem percukaian yang lebih adil. 

“Dasar baharu dan pintar juga perlu dirangka oleh pemegang taruh yang relevan, selain peraturan berkenaan Covid-19 tidak seharusnya meletakkan beban kewangan yang melampau kepada perniagaan tetapi memberi ruang untuk mencadangkan penyelesaian berinovasi dan kreatif untuk diguna pakai setiap industri. 

“Isu pekerja asing juga perlu ditangani dengan pelan tindakan yang jelas termasuk melaksanakan proses pendaftaran pekerja asing yang telus dan cekap, pengambilan pekerja asing berdasarkan standard piawaian antarabangsa dan penilaian secara spesifik mengenai jumlah pekerja asing diperlukan setiap sektor dalam ekonomi negara. 

“Selain itu, dasar perlu memberi tumpuan bagi menyediakan inisiatif yang setimpal, latihan, dan bantuan automasi, bermula dengan sektor yang masih bergantung kepada buruh asing,” kata kenyataan itu.

Kerajaan juga diseru merangsang pertumbuhan yang lebih tinggi dan mampan melalui dasar industri yang berorientasikan misi. 

Mereka berpendapat, bagi memastikan Malaysia dapat membebaskan diri daripada cengkaman perangkap pendapatan menengah, sektor baharu dengan skop pertumbuhan yang tinggi dan penambahbaikan produktiviti perlu dijana. 

Bagi merealisasikan hasrat ini, Refsa menyokong usaha memperluas dasar industri dengan membina konsep berorientasikan misi menerusi perbincangan dengan semua pemain industri mengenai isu-isu tertentu bagi merangka cabaran secara spesifik dan menyediakan bantuan kewangan yang tidak mengharapkan pulangan jangka pendek, tetapi mencari penyelesaian ekonomi yang dapat memperluas sektor baharu serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan mewujudkan kesan limpahan berganda. 

“Kerajaan persekutuan juga seharusnya mengagihkan kuasa kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta memperkasa perwakilan kerajaan tempatan untuk melaksanakan dasar tempatan yang sesuai dengan keadaan setempat, contohnya seperti menentukan bagaimana geran yang diberi harus dibelanjakan,” jelasnya.

Mereka turut menekankan, dasar penjagaan kesihatan seharusnya mampu memperkukuh dan memperkasa kerjasama antara pemain sektor kesihatan swasta dan awam, tambahan pula RMK-12 menggariskan kaedah meningkatkan sumber daya bagi golongan profesional kesihatan mental dan rawatan kesihatan mental yang kian meningkat semasa pandemik. 

“Semua kementerian perlu melaksanakan pendigitalan. Satu pelan tindakan perlu dibentangkan dalam RMK-12 di mana semua kementerian harus terlibat dalam inisiatif berkaitan pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0. 

“Ini bermaksud menggunakan dan mengadaptasi analisis data raya (BDA), internet kebendaan (IoT), dan kecerdasan buatan (AI) untuk setiap strategi pertumbuhan kerajaan. 

“Contohnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan boleh menggalakkan penggunaan alat IoT untuk menilai kesuburan tanah, keasidan serta kealkalian tanah bagi sektor pertanian manakala Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli boleh menggunakan teknologi dron untuk mengatasi pencemaran, pembalakan haram di hutan dan pencemaran udara secara haram,” ujarnya.

Tambah mereka, kerajaan perlu mengenal pasti sektor pertumbuhan ekonomi baharu kerana RMK-12 sepatutnya lebih terkehadapan dalam membincangkan trend mega atau tema utama bagi Malaysia dan rantau ini seperti geopolitik, digitalisasi dan populasi warga tua yang meningkat, seterusnya bagaimana negara dapat bersedia menghadapi perkembangan ini. 

“Refsa percaya perubahan sikap amat penting dan kepimpinan daripada kerajaan amat diperlukan untuk memacu inovasi sejajar dengan kerajaan yang berdaya saing.

“Secara ringkasnya, RMK-12 perlu mengetengahkan satu pelan tindakan strategik pemulihan bagi jangka masa lima tahun yang menyentuh tentang reformasi struktur kerajaan termasuk sektor swasta. 

“Penstrukturan dan penjajaran dasar ini perlu diperluas kepada seluruh kementerian dan agensi, termasuk syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC), bagi mencapai tujuan utama pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan inklusif,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN