Rakyat perlu bersedia dan belajar ‘hidup’ dalam suasana Covid-19 - Utusan Malaysia

Rakyat perlu bersedia dan belajar ‘hidup’ dalam suasana Covid-19

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut, Che Cafle Bidun (kiri) di Jalan Bendang Baru Kampung Bunga Emas Timur, Simpang Empat, Arau, Perlis, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Rakyat negeri ini dinasihatkan mengambil langkah drastik untuk lebih bersedia dan belajar ‘hidup’ bersama Covid-19 kerana semua pihak harus menerima kenyataan bahawa virus tersebut telah menular di dalam komuniti.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap individu, ahli keluarga dan masyarakat perlu mengamalkan kawalan kendiri lebih rapi serta melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan.

“Melihat kepada situasi semasa kadar jangkitan Covid-19 di peringkat kebangsaan mahupun di Perlis sendiri, semua pihak perlu menerima kenyataan bahawa wabak ini telahpun menular dalam komuniti kita hari ini.

“Yang paling utama adalah tanggungjawab sosial dan tingkah laku yang baik oleh setiap individu dalam mengamalkan kelaziman baharu serta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berwajib dari masa ke semasa.

“Hal demikian penting agar risiko jangkitan dalam masyarakat dapat dikurangkan ke tahap yang paling rendah,” titah baginda selepas berkenan berangkat menziarahi mangsa bencana ribut, Che Cafle Bidun di Jalan Bendang Baru Kampung Bunga Emas Timur, Simpang Empat di sini hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyerahkan sumbangan wang tunai daripada MAIPs bagi meringankan beban mangsa terbabit.

Sebanyak empat buah rumah terlibat dalam kejadian angin kencang dua hari lalu iaitu tiga di kawasan Sanglang dan satu di Simpang Empat.. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN