Pusat Hemodialisis Wakaf Perak dibuka November ini - Utusan Malaysia

Pusat Hemodialisis Wakaf Perak dibuka November ini

BANGUNAN Pusat Hemodialisis Wakaf yang sudah siap dibina di Kampung Dato Seri Kamaruddin, Seri Manjung, Perak  dijangka dibuka November ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pusat Hemodialisis Wakaf di Seri Manjung di sini, yang pertama kali dibina hasil sumbangan wakaf daripada orang ramai di Perak, dijangka mula beroperasi November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, premis bernilai RM2.9 juta yang terletak di kawasan Masjid Sultan Alang Iskandar Shah, Kampung Dato Seri Kamaruddin itu memberi manfaat kepada 29 asnaf penghidap sakit buah pinggang di daerah Manjung serta pesakit lain.

Beliau memberitahu, premis itu mampu menempatkan 24 mesin dialisis tetapi buat permulaan hanya menyediakan 12 mesin dialisis yang mampu menampung sehingga 36 pesakit sehari.

“Selain golongan asnaf yang dibiayai di bawah dana zakat MAIPk, ia juga terbuka kepada pesakit buah pinggang lain seperti penjawat awam yang dibiayai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kakitangan swasta menerusi dana Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta mereka yang membiayai sendiri rawatan.

“Ini bermakna pusat hemodialisis ini bukan hanya memberi manfaat kepada golongan asnaf dan orang Islam sahaja tetapi juga kepada semua penduduk tanpa mengira kaum dan agama,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Shahrul Azam, premis itu turut dilengkapi kemudahan seperti kafetaria dan kedai serbaneka sebagai kemudahan kepada ahli keluarga atau pengiring membeli barang keperluan dan bersantai sementara menunggu pesakit mendapatkan rawatan.

Jelasnya, projek perintis menggunakan dana Wakaf Perak Ar-Ridzuan (WAPR) sumbangan sepenuhnya orang ramai dan badan korporat itu akan diperluaskan lagi ke daerah lain dengan sasaran satu pusat hemodialisis di setiap daerah di Perak.

Ujarnya, pembinaan lebih banyak pusat hemodialisis menerusi dana WAPR penting kerana sehingga bulan ini, bilangan penerima bantuan rawatan hemodialisis yang dibiayai dana zakat MAIPk ialah 588 orang dengan anggaran kos keseluruhan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta sebulan.

“Tahun lalu, MAIPk membelanjakan kira-kira RM16 juta bagi membiayai kos keseluruhan bantuan rawatan pesakit buah pinggang ini di pusat hemodialisis swasta di seluruh negeri,” jelasnya.

Justeru, harapan pihaknya apabila premis itu sudah mula beroperasi, masyarakat akan dapat melihat hasil sumbangan wakaf mereka dan menggandakan sumbangan tunai mereka agar pusat rawatan sama dapat dibina di tempat lain.

“Amalan berwakaf ini boleh mendekatkan lagi penyumbangnya kepada Allah kerana pahalanya berterusan selagi ia digunakan dan memberi manfaat kepada orang lain seolah-olah penyumbangnya masih hidup walaupun sudah meninggal dunia,” jelasnya.

Katanya, ia juga secara tidak langsung dapat mengubah persepsi sebahagian masyarakat yang melihat apabila berwakaf mesti melibatkan masjid, surau, sekolah agama dan tanah kubur sahaja sedangkan wakaf tunai juga boleh dilakukan untuk memberi manfaat dalam pelbagai aspek meliputi bidang agama, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

Beliau memberitahu amalan berwakaf menerusi WAPR mampu memperkasa ummah serta memartabatkan ekonomi umat Islam khususnya di Perak, tambahan pula wakaf itu sendiri sebenarnya sektor ekonomi terbesar umat Islam selepas kerajaan dan sektor swasta. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN