PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) mampu menyelamatkan ramai nyawa dengan menurunkan kes kematian di luar hospital atau Bought in Dead (BID).
Beliau berkata, ini berikutan pesakit Covid-19 berkemungkinan mangalami keadaan “Happy Hypoxia” dan tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas, masih kelihatan tenang dan ceria seperti biasa walaupun tahap oksigen dalam badannya rendah.
“Akhirnya, dibuat juga benda mudah macam ini yang mampu menyelamatkan ramai nyawa dengan menurunkan kes kematian di luar hospital.
“Happy Hypoxia ini menjadi pembunuh senyap apabila masalah kekurangan oksigen ini tidak dapat dikesan dan dirawat lebih awal, pesakit Covid-19 boleh meninggal dunia.
“Ini telah mengakibatkan ramai pesakit Covid-19 maut di luar hospital, (maka) sebab itu, penggunaan peralatan “pulse oximeter” ini perlu diwajibkan, tapi telah terlambat bagi ribuan pesakit yang terkorban dan diklasifikasi sebagai BID,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, kerajaan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian pakej PPC kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam usaha memastikan diri dan keluarga mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sebagai persediaan negara ke arah era endemik yang antara lain bertujuan meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah golongan itu.
Beliau berkata, bantuan PPC itu mengandungi pek pelitup muka guna semula (empat keping setiap keluarga), kit ujian kendiri Covid-19 (empat kit setiap keluarga), seunit pulse oximeter, seunit termometer dan risalah panduan penggunaan serta info kesihatan.
Kata beliau, pemberian PPC buat masa ini dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; atau ibu atau bapa tunggal mempunyai anak.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40 dan secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR.
“Usaha itu juga sebagai melatih diri membudayakan norma baharu sekali gus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya – UTUSAN ONLINE