GEORGETOWN : Polis selesai merekodkan keterangan daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
susulan beberapa laporan yang dibuat terhadap pemimpin itu yang didakwa melanggar perintah kuarantin kendiri, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, Guan Eng disoal siasat pada 10 September lalu selepas pemimpin berkenaan selesai menjalani tempoh kuarantin kendiri.
“Siasatan masih dijalankan untuk melengkapkan kertas siasatan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.
Jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Mohd Aswaad Jaafar mempersoalkan mengapa Guan Eng boleh hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September lalu, sedangkan beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September.
Bagaimananapun, Guan Eng menerusi kenyataan telah menyangkal dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.
Guan Eng berkata, beliau hanya diberitahu pada 2 September berhubung perkara itu setelah menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini. – UTUSAN ONLINE