GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menjangkakan kes melibatkan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long meningkat di negeri ini sekiranya orang ramai tidak berhati-hati dengan tawaran yang dibuat oleh sindiket berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak 87 kes membabitkan ah long melibatkan kerugian lebih RM800,000 dilaporkan sejak Januari hingga bulan ini.
“Polis bimbang sekiranya kita tidak ingatkan orang ramai, kes melibatkan pinjaman ah long ini akan meningkat.
“Menerusi statistik kita, pada tahun lepas sebanyak 91 kertas siasatan dibuka manakala dalam tempoh Januari hingga September tahun ini pula terdapat 87 kertas siasatan melibatkan ah long dibuka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, setakat ini polis menahan 99 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan ah long dan semalam tiga suspek turut ditahan polis kerana dipercayai mempunyai kaitan dengannya.
“Tahun lalu, polis menahan 59 individu kerana terlibat dengan ah long dan kita mohon orang ramai agar tidak terjerat dengan sindiket berkenaan,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, polis turut berpuas hati dengan tahap pematuhan orang ramai di lokasi tumpuan serta pusat pelancongan pantai pada 16 hingga 19 September lalu.
“Pada mulanya kami menjangkakan orang ramai akan memenuhi pusat-pusat rekreasi dan tumpuan orang ramai, namun menerusi pemantauan jumlah pengunjung tidak terlalu ramai.
“Orang ramai dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan jumlah kenderaan juga kita dapati menurun sehingga 28 peratus pada 16 hingga 19 September,” katanya.
Mohd. Shuhaily menambah, polis juga akan menggunakan dron ketika memantau lokasi tumpuan awam bagi memastikan tindakan yang diambil nanti adalah berpandukan kepada fakta.
“Dron ini kita akan gunakan dari semasa ke semasa kerana kita mahu apa sahaja tindakan lanjut yang kita ambil adalah dengan fakta,” katanya. – UTUSAN ONLINE