PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru seluruh lapisan masyarakat yang belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.
Perdana Menteri menyifatkan perkara tersebut sebagai satu usaha ke arah mencapai imunisasi kelompok.
“Seronok melihat mereka yang sudah menerima dua dos vaksin menjamu selera di restoran dan beriadah di luar. Bagi yang belum lengkap, Insya-Allah giliran anda akan menyusul tidak lama lagi.
“Manakala kepada seluruh Keluarga Malaysia yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, saya menyeru agar berbuat demikian dengan segera.
“Kita semua rindu hendak jalani hidup seperti sedia kala. Jom sama-sama kita ambil langkah ke fasa Herd Immunity,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, penduduk di lima negeri dan dua wilayah persekutuan diberikan kelonggaran sektor tertentu termasuk boleh makan di restoran, aktiviti sukan bukan berkumpulan tanpa sentuhan, kegiatan rekreasi selain perkhemahan dan perkelahan serta operasi pasar malam dan minggu. – UTUSAN ONLINE