Pakatan Harapan (PH) tarik diri jika kerajaan ingkar MoU

PH tarik diri jika kerajaan ingkar MoU

HASSAN Abdul Karim (kanan) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penerima di Taman Kota Puteri di Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pakatan Harapan (PH) tidak akan teragak-agak untuk menarik diri sekiranya kerajaan tidak melaksanakan perkara yang dipersetujui dalam Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai, Isnin lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, terdapat klausa keluar daripada MoU tersebut sekiranya kerajaan ingkar dan tidak mematuhi semua terma perjanjian itu.

Hassan berkata, pembangkang akan memantau pelaksanaan semua terma yang dipersetujui dalam MoU berkenaan dalam masa 10 bulan yang dilihat mencukupi untuk menjayakan hasrat itu.

“Jika perkara ini dibawa ke mahkamah kerana kerajaan gagal melaksanakan perkara yang dipersetujui, PH tidak boleh pun tuntut ganti rugi.

“Tetapi kesannya jika siapa yang mungkir janji akan berdepan kemarahan rakyat. Jika MoU tersebut berjaya, ini adalah untuk manfaat rakyat keseluruhannya dan bukan untuk manfaat Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bakul makanan kepada lebih 20 penerima terdiri daripada ibu tunggal dan keluarga yang terputus bekalan makanan di Taman Kota Puteri di sini.

Isnin lalu, sejarah baharu politik tanah air tercipta apabila buat pertama kalinya kerajaan Persekutuan dan pembangkang memeterai MoU bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU itu merangkumi enam aspek iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Dalam pada itu, Hassan berkata, beliau menempelak dakwaan yang menyatakan PH sudah hilang peranan semak dan imbang malah tidak lagi lantang kerana dianggap sudah menjadi ‘sebahagian’ daripada kerajaaan.

“Ini tidak betul. PH tetap meneruskan peranan semak dan imbang sebagai satu blok parti pembangkang yang terbesar di Parlimen. Menerusi usaha ini, kita dapat melaksanakan agenda reformasi yang diperjuangkan selama ini.

“Antara agenda reformasi PH yang kerajaan setuju laksanakan dalam MoU itu adalah pelaksanaan Rang Undang-undang Antilompat Parti dan undi 18 tahun. Kerajaan setuju kerana berada dalam keadaan lemah dan tidak mahu tumbang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN