ALOR SETAR: DAP Langkawi menyaran pembukaan semula sektor pelancongan pulau ini pada 16 September ini dilakukan dengan teliti termasuk dari segi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diperketatkan oleh pihak berwajib.
Ketuanya, Jacky Choong Kee Zan berkata, di sebalik kegembiraan timbul juga kerisauan dalam kalangan penduduk Langkawi tentang kemungkinan berlakunya penularan wabak yang serius andai kemasukan pelancong nanti tidak dikawal selia dengan sebaiknya.
“Justeru, saya menyeru agar pihak berwajib menetapkan SOP yang ketat serta mempertingkat penguatkuasaan ke atas pematuhan SOP semua pihak sama ada operator atau pelancong itu sendiri. Saringan dan pemantauan di pintu-pintu masuk ke pulau lagenda ini juga perlu diperketatkan untuk mengelak penularan wabak.
“Penjarakan sosial semasa di dalam feri, pesawat atau pengangkutan awam perlu diamalkan sepenuhnya. Pemakaian pelitup muka mesti diwajibkan kepada semua pihak termasuk pelancong yang masuk ke pulau ini. Sementara itu kapisiti penumpang pengangkutan awam mesti dihadkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya dalam kenyataan sini hari ini.
Beliau juga menyarankan pengunjung ke premis-premis pelancongan dihadkan pada kadar yang lebih bersesuaian dan selamat.
“Penguatkuasaan di tempat-tempat tersebut perlu dipertingkat dan pada setiap masa untuk memantau dan memastikan operator dan pelancong mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Selain itu, ‘dine-in’ adalah salah satu punca yang paling cepat untuk berlakunya penularan virus. Justeru saya menyarankan agar pihak berwajib untuk memastikan semua pengusaha restoran sentiasa mengamalkan kebersihan dan menganjurkan pelanggannya mematuhi SOP, penjarakan sosial dan kapasiti meja yang dibenarkan,” katanya.
Selain itu tambah beliau, proses sanitasi atau nyahkuman perlu dibuat dari semasa ke semasa untuk keselesaan dan keyakinan pelanggan dan pelancong.
“Walaupun vaksinasi di Langkawi kini telah melepasi tahap imuniti kelompok yang disasarkan iaitu dengan kadar 90.2 peratus pemberian dos pertama dan 85.8 peratus pemberian dos kedua, namun langkah-langkah pencegahan wabak perlu diteruskan dan tidak seharusnya dikendurkan,” katanya.
Jelasnya, DAP Langkawi juga menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan Langkawi agar merumus dan merangka langkah-langkah makro untuk membantu pemulihan ekonomi dan industri pelancongan di Langkawi yang amat terkesan akibat pandemik Covid-19 melanda negara sejak awal tahun lalu.
Pada 2 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program ‘travel bubble’ berdasarkan syarat-syarat ditetapkan.
Sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini. – UTUSAN ONLINE