PETALING JAYA: Syor mewajibkan semua pengeluar atau pembekal memberi rebat kepada ahli farmasi terhadap stok kit ujian kendiri Covid-19 yang telah dibeli dapat mengurangkan kos kerugian ditanggung peniaga.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, pusat farmasi di seluruh negara sedang mengalami kerugian kerana harga diterima daripada pembekal sebelum ini lebih tinggi daripada harga siling terbaharu ditetapkan kerajaan.
“Paling terjejas adalah peniaga komuniti kecil. Mereka perlu mendapatkan peralatan itu daripada syarikat pembekal yang sah agar syarikat tersebut dapat bertanggungjawab jika perkara seperti ini berlaku.
“Kerajaan sudah memberi tempoh sehingga 12 September, jadi gunakan masa ini untuk menyelesaikan masalah ini sekali gus penyesuaian harga peralatan itu mengikut kadar ditetapkan dapat dilakukan,” katanya.
Bermula Ahad lalu, kerajaan menetapkan harga runcit maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 pada harga RM19.90 manakala RM16 bagi harga borong maksimum (seunit).
Mereka yang dikesan menjual melebihi harga itu selepas 12 September ini boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP 2011 iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000 bagi individu manakala denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di 14 farmasi sekitar Shah Alam, Selangor kelmarin mendapati, para peniaga mematuhi harga jualan maksimum kit ujian kendiri berkenaan.
Pemerhatian jualan secara dalam talian juga mendapati pematuhan terhadap harga tersebut yang mana platform ini lebih mendapat sambutan berbanding di farmasi kerana ramai pelanggan ketika ini melakukan kuarantin secara kendiri di rumah.
Seorang pegawai farmasi, Sakinah Othman, 3, berkata, pihaknya menerima penetapan harga siling itu kerana dapat mengawal harga peralatan tersebut daripada pihak-pihak yang cuba mengaut keuntungan berlebihan.
“Kita bimbang ada penjual meletakkan harga yang tak masuk akal. Harga RM19.90 dikira harga munasabah bagi semua pihak,” katanya.
Seorang lagi pegawai farmasi dikenali sebagai Vivian, 32, berpendapat, walaupun mengalami kerugian, pihaknya akur kerana faham keputusan dibuat demi kepentingan rakyat.
Namun, beliau mengharapkan syarikat pembekal dapat menurunkan harga peralatan itu untuk menampung sedikit kerugian yang dialaminya.
Pembantu pegawai farmasi, Maisarah Rasool, 23, pula berkata, pihaknya tidak menanggung kerugian kerana berdaftar dengan syarikat pembekal yang sah dan dapat bekerjasama untuk menurunkan harga.
“Setakat ini, syarikat pembekal masih bertolak-ansur untuk membantu antara satu sama lain,” katanya. – UTUSAN ONLIEN