Peniaga lega Pantai Irama kembali ‘rancak’ - Utusan Malaysia

Peniaga lega Pantai Irama kembali ‘rancak’

MANDI laut, permainan glider dan menunggang kuda antara aktiviti yang mula dilakukan orang awam di sekitar Pantai Irama, Bachok sejak seminggu lalu. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Longgokan beratus-ratus biji kelapa muda terbiar hingga busuk kerana tidak laku dijual pernah menjadi mimpi ngeri bagi 50 pengusaha deretan warung di Pantai Irama, di sini apabila pusat peranginan itu ditutup akibat Covid-19.

Namun, kini, mereka sudah boleh menarik nafas lega kerana pantai itu kembali meriah seperti sediakala apabila mula dikunjungi orang ramai selepas kelonggaran diberikan kerajaan sejak seminggu lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pengunjung membanjiri sepanjang pesisir pantai dengan pelbagai aktiviti riadah seperti mandi-manda, berkelah, menunggang kuda serta bermain paragliding.

Seorang pengusaha warung, Noorhashahida Ismail khan, 36, berkata, kelonggaran untuk orang ramai beraktiviti di pantai melegakan peniaga sepertinya yang sudah berbulan-bulan tiada punca pendapatan.

 

NOORHASHIDA Ismail Khan (kiri) bersama pembantunya berniaga air kelapa muda dan makanan laut di Pantai Irama, Bachok, hari ini. – UTUSAN/TOREK SULONG

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

“Tahun ini, hampir lima bulan kami tidak berniaga. Harapan saya agar pengunjung jangan alpa dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19 masih ada di luar sana.

“Jika ada yang melanggar SOP, semua pihak terkesan dan tidak mustahil warung pun diarah tutup sehingga kami hilang punca pendapatan sekali lagi,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Bercerita lanjut pengalaman berniaga di musim pandemik, Noorhashida berkata, dia dan rakan-rakan peniaga lain terduduk kebingungan apabila pantai ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sedangkan, ketika itu, saya baru sahaja menerima lebih 300 biji kelapa muda dari pembekal. Ibarat hari ini beli, esok kedai kena tutup. Habis semuanya membusuk kerana kelapa muda boleh bertahan tiga hari sahaja,” katanya.

Sementara itu, Samsuriani Roni, 54, berkata, kebanyakan pengusaha warung di situ berdepan kerugian puluhan ribu ringgit termasuk dia sendiri kerana arahan penutupan pantai dibuat pada saat-saat akhir.

“Lazimnya saya meraih sekitar RM600 sehari namun terputus terus punca rezeki akibat Covid-19. Saya kerugian sebanyak RM14,000 sepanjang tempoh lebih empat bulan tidak berniaga,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN