SHAH ALAM: Pengasas fahaman ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT), S’ttah An Nur akhirnya mengakui ajaran dan kenyataannya yang tular dalam media sosial sebelum ini sebagai bertentangan dengan akidah Islam dan menyeru mereka yang terpengaruh agar lkembali semula kepada ajaran Islam sebenar.
S’ttah An Nur atau nama sebenarnya Masitah Ab. Jalar juga mengakui kenyataan dibuat secara itu terkeluar daripada pemahaman manusia pada lazimnya mengenai mimpi dan boleh menyebabkan kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.
“Saya menyedari perlakuan saya sedemikian adalah suatu penyertaan yang bertentangan dan bercanggah dengan prinsip-prinsip aliran akidah Ahli Sunnah Waljamaah dan boleh mencetuskan perbuatan tidak mengikuti atau melampaui aturan Islam sebagai agama yang sempurna serta lengkap dalam mengatur kehidupan umatnya.
“Saya menyesali, menginsafi dan berjanji kepada diri, tidak akan mengulangi dengan apa juga cara yang boleh membawa kepada keadaan yang dinyatakan. Dengan ini saya bertaubat, kembali ke pangkal jalan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar,” katanya.
Wanita itu melafazkan demikian dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) yang diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam Selangor hari ini.
Dalam lafaz itu, Masiah turut mengucap dua Kalimah Syahadah dan memberitahu melakukan pengisytiharan tersebut dengan rela hati tanpa ada paksaan daripada ma-mana individu.
Pengisytiharan taubat itu disaksikan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Ahmad Syahir Makhtar dan Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah, Mohd. Ansor Rullah Mohd. Hassim sebagai saksi.
Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan memberitahu, pengisytiharan ini dibuat selepas Masitah membuat pengakuan berhubung fahamannya mengenai PMYT itu di hadapan panel yang dilantik oleh Jais pada 20 September lalu.
Masitah menjelaskan, fahaman sedemikian adalah bertenangan dengan Seksyen 7 (Doktrin Palsu) dan Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Satu yang hendak ditegaskan, semoga keikhlasan berlaku terhadap Masitah, semoga dia dan pengikutnya diampunkan.
“Namun untuk diambil perhatian bahawa, walaupun istitabah ini dibuat, kami di peringkat Jais hanya menguruskan sesuai dengan kehendak hukum apabila melibatkan soal akidah dan penyelewengan, kita mahu pihak terlibat juga menyedari keadaan ini dan akhirnya semua terlibat akan turut sama menyedari akan kekhilafan itu,” jelasnya.
Mohd. Shahzihan menambah, jika Masitah mengingkari lafaz taubatnya dan masih berpegang dengan fahaman terbabit, dia boleh dihukum didenda RM5,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya lagi, sehingga kini terdapat tiga ajaran sesat yang sedang dipantau dengan penguatkuasaan undang-undang terhadapnya seperti ajaran Ummu Jah yang dikaitkan dengan Al-Arqam, ajaran Haji Kahar berhubung ‘Rasul Melayu’ dan PMYT. – UTUSAN