Penduduk lega bekalan air kembali pulih - Utusan Malaysia

Penduduk lega bekalan air kembali pulih

NORAZLINA Arshad membasuh sayur-sayuran menggunakan bekalan air SADA yang kembali pulih di gerainya di Kampung Pauh, Yan hari ini. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Lebih 1,000 penduduk dari empat buah kampung yang menghadapi masalah terputus bekalan air selepas tragedi kepala air di sini pada 18 Ogos lega apabila bekalan air bersih kembali pulih secara berperingkat sejak seminggu lalu.

Penduduk terbabit dari Kampung Pauh, Kampung Setol, Kampung Jawa dan Kampung Acheh mendapat bekalan air daripada Bekalan Air Masyarakat (BAM) dan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA).

Mereka terputus bekalan air selepas kolam tadahan BAM dan paip saluran air SADA mengalami kerosakan berikutan tragedi kepala air yang terburuk di Gunung Jerai di sini.

Seorang penduduk, Arshad Majid, 69, berkata, kebanyakan penduduk menggunakan bekalan air BAM untuk kegunaan harian dan mereka menghadapi banyak kesulitan apabila bekalan terputus dalam tempoh yang agak lama.

Bagaimanapun, menurutnya, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan gotong-royong yang memasang semula paip yang rosak selepas kejadian kepala air tersebut.

“Alhamdulillah, bekalan air BAM yang digunakan penduduk sejak berpuluh tahun lalu kembali pulih seperti biasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Peniaga gerai makan, Norazlina Arshad, 42, berkata, dia kini dapat membuka semula perniagaan gerai makan selepas bekalan air BAM dan SADA kembali pulih beberapa hari lalu.

Menurutnya, dia tidak dapat berniaga seperti biasa sepanjang tempoh bekalan air terputus.

“Saya sekarang dapat berniaga semula untuk menyara keluarga selepas lama  menutup perniagaan lebih sebulan kesan daripada bencana kepala air,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Asraf Abdul Rashid, 26, berkata, dia sebelum ini terpaksa membeli air bersih dan menadah air hujan untuk kegunaan harian selepas bekalan air terputus di sini.

“Saya bersyukur bekalan air kembali pulih dan memudahkan urusan seharian untuk memasak, membasuh dan mandi.

“Malah para jemaah Masjid Al-Muhammadi di Kampung Pauh dapat mengambil wuduk dengan senang tanpa mengharapkan air hujan yang ditadah,” katanya.

Dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu seramai enam nyawa terkorban.

Selain itu, sebanyak 1,732 rumah, 124 premis perniagaan dan 14 pengusaha chalet di sini dan Tupah dekat Merbok turut terjejas dalam kejadian itu.

Tragedi kepala air itu dipercayai berlaku berikutan hujan lebat luar biasa di puncak Gunung Jerai pada hari kejadian.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN