Pemulihan semula ekonomi, aktiviti rakyat jadi fokus Bajet 2022 - Utusan Malaysia

Pemulihan semula ekonomi, aktiviti rakyat jadi fokus Bajet 2022

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemulihan semula ekonomi dan aktiviti rakyat menjadi antara intipati utama yang akan difokuskan kerajaan negeri dalam pembentangan Bajet 2022.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu penting bagi memperkasa lagi sektor berkenaan sebaik sahaja negara keluar daripada fasa pandemik Covid-19, tidak lama lagi.

“Kita akan memasuki fasa endemik pada tahun 2022 dan menjadi keutamaan kerajaan negeri Terengganu untuk memulihkan semula ekonomi dan aktiviti rakyat negeri ini yang terjejas teruk akibat Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Misi Kebajikan Bersamamu di Dewan Sivik Buluh Gading, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri turut mengalu-alukan sebarang cadangan daripada rakyat mengenai input-input bajet termasuk penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk manfaat ramai.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri giat mendapatkan pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan pemikir, golongan profesional dan akademik.

Sementara itu, menurutnya, kerja-kerja pembaikan paip dasar sungai Tangki Berangan yang bermula sejak 23 Ogos lalu kini giat dijalankan dan proses berkenaan dijangka siap mengikut jadual pada 12 September ini.

Katanya, sebanyak sembilan unit paip tiba di tapak krisis air di Losong semalam manakala baki 33 lagi akan menyusul secara berperingkat hingga Selasa ini.

“Sejumlah 20 komponen ‘coupler’ yang ditempah dari Australian tiba di kawasan tapak hari ini disusuli 26 unit lain dari Itali pada Isnin.

“Kerja-kerja penyambungan paip-paip di daratan di Losong bermula pada hari ini dan kita masih mengekalkan 12 September sebagai tarikh untuk krisis 2.0 ini berakhir, di samping mencuba sedaya-upaya untuk menyelesaikan lebih awal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN