Pemilik kebun dikompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka 

Pemilik kebun dikompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka 

PEGAWAI JAS Pulau Pinang menjalankan siasatan berhubung aktiviti pembakaran terbuka di sebuah kebun di Balik Pulau hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Seorang pemilik kebun di sini dikompaun RM2,000 selepas didapati melakukan pembakaran secara terbuka melibatkan sebahagian kawasan kebunnya yang tidak diselia dan berpotensi merebak ke kawasan lain. 

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menjalankan siasatan selepas menerima aduan orang awam berhubung isu pencemaran udara berikutan pembakaran terbuka tersebut. 

Tambah beliau, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah terbakar pada dalam keadaan cuaca panas dan kering. 

“Ini kerana selain daripada mencemar dan mengganggu masyarakat sekeliling, aktiviti pembakaran terbuka itu juga mudah merebak ke kawasan belukar mahu pun hutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Sharifah Zakiah, mengikut seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

Jelasnya, kompaun minimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan tersebut. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 547 aduan pembakaran terbuka sepanjang tahun ini setakat hari ini. 

“Sehubungan itu, orang awam diminta menyalurkan sebarang maklumat tentang pencemaran ke talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 atau email [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN