Pembantu operasi hospital didakwa buat tuntutan palsu

Pembantu operasi hospital didakwa buat tuntutan palsu

ZURAIHA Zakri (kanan) ketika hadir ke mahkamah bagi pertuduhan memperdaya di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, Johor. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu operasi Hospital Sultanah Aminah (HSA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdaya dengan melakukan tuntutan palsu melibatkan jumlah RM7,050 tiga tahun lalu. 

Tertuduh, Zuraiha Zakri, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail. 

Berdasarkan keempat-empat kertas pertuduhan itu, wanita berkenaan yang bertugas sebagai Pembantu Operasi Gred N11 di Pusat Penyelidikan Klinikal, HSA didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu HSA berkaitan dokumen pesanan penghantaran atas nama sebuah syarikat.

Perkara itu berhubung penyediaan makanan dan minuman bagi pelaksanaan tiga program di hospital itu yang mana ia tidak dibekalkan seperti dalam dokumen berkenaan yang dipercayai untuk mengelirukan pihak hospital.

Bagi kesalahan yang dilakukan antara Julai hingga Ogos 2018 itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan berkenaan tidak memperuntukkan jaminan, namun pihaknya mencadangkan ikat jamin RM20,000 sekiranya dibenarkan mahkamah. 

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Salleh Tugimin memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya yang masih bertugas dalam pusat sama di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan mempunyai seorang anak berusia lima tahun. 

Katanya, suami tertuduh pula hanya bekerja sebagai kerani selain mereka turut menanggung ibu bapa yang sudah tua dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan RM2,000 bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Oktober ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai selain perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya