TANJUNG MALIM: Perasaan gementar kerana takut jarum tidak mematahkan semangat Emi Khadijah Sabrina Mohd. Sabri, 17, mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Emi Khadijah dan adiknya, Emi Fitriah Sabrina, 17, menerima suntikan itu di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, di sini hari ini.
Pada program tersebut, seramai 127 pelajar SMK Proton City mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Menurut Emi Khadijah, selepas disuntik, perasaan takut dan gemuruh yang dialaminya diganti pula dengan perasaan lega serta gembira.
“Saya sebenarnya takut jarum sebab itu rasa gementar, tetapi jururawat di sini baik dan menyebabkan saya rasa lebih tenang.
“Selepas disuntik, rasa takut itu hilang terus sebaliknya saya menjadi teruja. Saya dan adik gembira kerana kami sama-sama mendapat suntikan vaksin hari ini, tambahan lagi ibu turut ada menemani kami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Berkongsi perasaan sama, Emi Fitriah memberitahu, dia tidak langsung berasa takut untuk disuntik sebaliknya tidak sabar mendapatkannya.
“Tidak rasa sakit langsung, rasa macam gigit semut saja,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shafiq Shaihan Shahali, 17, berkata, dia tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan belajar semula bersama rakan-rakan kerana menyifatkan pembelajaran secara dalam talian lebih sukar.
Katanya, dengan suntikan yang diterima hari ini, dia berasa lebih selamat dan yakin untuk ke sekolah.
“Mula-mula memang takut, tapi selepas dicucuk tak rasa sakit pun. Saya gembira sebab dalam keluarga saya sahaja belum menerima suntikan vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE