Pelajar sekolah antara empat mat rempit ditahan polis

Pelajar sekolah antara empat mat rempit ditahan

DUA daripada empat remaja yang ditahan kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya dekat Plaza Tol Ayer Panas, DUKE dan Jalan Kuching, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar sekolah kerana menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya dekat Plaza Tol Ayer Panas, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Kuching dekat sini, awal pagi tadi.

Kesemua mereka berusia 15 hingga tahun itu ditahan sepasukan anggota unit risikan serta operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerusi Operasi Samseng Jalanan dan Motosikal.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, lelaki berkenaan didapati membuat kesalahan dengan berlumba sambil melakukan aksi ‘zig-zag’, ‘roket’ dan ‘Superman’.

Katanya, pelajar sekolah dan seorang mekanik ditahan di Plaza Tol Ayer Panas di Lebuh Raya DUKE manakala dua pekerja kilang di Jalan Kuching.

“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H. S Lee mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita juga menahan dua lelaki berusia 25 dan 29 tahun di sekitar ibu negara menerusi operasi sama semalam selepas didapati melanggar undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sarifudin berkata, pemeriksaan mendapati seorang daripadanya disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol.

“JSPT Kuala Lumpur menjalankan Operasi Samseng Jalanan dan Motosikal di Jalan Tun Razak, Jalan Loke Yew, Jalan Bangsar, Jalan Kuching serta Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya DUKE bermula Jumaat lalu hingga awal pagi tadi.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 984 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi terbabit,” ujarnya. 

Tambahnya, pihak polis turut menyita 43 motosikal atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

Ujar beliau, motosikal itu akan melalui pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pemiliknya diarahkan mengubah kenderaan ke struktur asal.

Dalam pada itu, Sarifudin turut memberi jaminan pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi terutama pada hujung minggu bagi mencegah sepenuhnya aktiviti samseng jalanan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN