BUTTERWORTH: Sebuah pasar raya di sini mengambil inisiatif memastikan kesemua kakitangan mereka telah lengkap divaksin lebih awal dalam usaha meyakinkan pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.
Selain kakitangannya, pasar raya tersebut iaitu Econsave Jalan Raja Uda di sini turut memastikan pengawal keselamatan serta tukang cuci di situ juga lengkap divaksin menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (Rivac) pada 22 Ogos lalu.
Pengurus Cawangan Econsave terbabit, Ong Chin Seong berkata, kesemua 71 individu tersebut juga ketika ini telah melepasi tempoh ‘menunggu’ yang ditetapkan iaitu selama dua minggu dan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Sehubungan itu katanya, orang ramai khususnya para pelanggan tidak perlu ragu-ragu atau bimbang ketika membeli barangan di pasar raya berkenaan selepas ini.
“Pihak pengurusan pasar raya ini amat menitikberatkan soal imunisasi terhadap kakitangan dan mahu 100 peratus mereka menerima suntikan tersebut sebelum bekerja.
“Selain memberi lebih keyakinan kepada pelanggan ketika berurusan di sini, kami juga mahu menepis persepsi negatif terhadap pasar-pasar raya yang terpaksa menutup operasi buat sementara waktu kerana pekerja mereka dijangkiti Covid-19,” katanya di sini baru-baru ini.
Jelas Chin Seong, pihaknya juga sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh semua pihak dalam usaha menjadikan pasar raya sebagai satu tempat selamat untuk dikunjungi.
“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang membantu pekerja dalam industri peruncitan mendapatkan vaksin lebih awal dan seterusnya membantu meningkatkan semula ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN