Pekerja maut tersepit di pagar automatik, syarikat didenda RM25,000 - Utusan Malaysia

Pekerja maut tersepit di pagar automatik, syarikat didenda RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah syarikat didenda RM25,000 kerana didapati gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga seorang pekerjanya maut dalam kemalangan pada Jun 2019.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, syarikat berkenaan gagal mengawal keselamatan pekerjanya melibatkan laluan keluar masuk ke syarikat.

“Syarikat Bend Weld Engineering Sdn. Bhd. sebagai majikan didapati gagal mengawal laluan keluar dan masuk tempat kerja sehingga mengakibatkan kemalangan maut seorang pekerja warganegara tempatan pada 4 Jun 2019. 

“Mangsa  berusia 45 tahun itu maut akibat tersepit antara pagar automatik dan tiang dinding ketika hendak keluar dari kilang melalui pagar hadapan kilang,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, semasa perbicaraan  pada 29 Julai lalu, pendakwaan berjaya membuktikan elemen pertuduhan dan dengan yang demikian suatu kes prima facie  berjaya dibuktikan untuk kes ini.

 Husdin memberitahu, syarikat itu sebagai majikan pada sesi pembelaan telah mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 15(1) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Ahmad Fuad Othman.

“Hakim menjatuhkan hukuman denda RM 25,000 kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Katanya, pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Johor iaitu Wan Siti Norfatin Wan Mohd. Ghazali; Khairul Amin Mohd. Sarmin; Mohd. Zakuan Fauzi dan Izharkhairi Mohd. Yusuf, sementara pegawai penyiasat kes ialah Nor Shadia Supandi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN