fbpx

Pegawai kanan SPRM ditahan miliki dadah, senjata api

ABDUL JALIL HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu tangkapan dilakukan  Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana memiliki dadah serta senjata api dan peluru pada Isnin lalu.

Pegawai kanan terbabit adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai RM25 juta (USD 6 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu Seksyen 8 (a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Kata beliau, bagi kesalahan dadah pula, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek ditahan reman  empat hari bermula Selasa lalu sehingga esok bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat kementerian di Dewan Rakyat, semalam memberitahu, PDRM sudah membuka kertas siasatan berhubung isu penahanan tiga pegawai SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Kata beliau, pihaknya juga sudah meminta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM mempercepatkan siasatan kes, selain bersetuju ia diklasifikasi sebagai kes curi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan laporan polis yang diterima akan disiasat dengan telus mengikut lunas perundangan sedia ada.

Tindakan itu sekali gus, membuktikan kerajaan mengekalkan sikap berintegriti dalam mendepani isu kepentingan awam.

Kontroversi membabitkan tangkapan tiga pegawai SPRM  bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Individu disiasat terbabit  dilepas tanpa bebas oleh mahkamah pada April tahun lalu dan ketika  mahu menuntut semula wang tunai yang dirampas SPRM, dia terkejut kerana sebahagian daripada wang tersebut didapati wang palsu. – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI