ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mengunjurkan kutipan hasil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM1.61 bilion bagi tahun 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan jumlah pemegang cukai yang dijangka meningkat.
Menurut beliau, unjuran itu bagaimanapun tertakluk kepada perubahan cadangan serta inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri.
“Berdasarkan hasil kutipan pada tahun lalu, empat PBT mencatat kutipan hasil melebihi RM100 juta iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru mengutip RM403 juta; Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (RM271 juta), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (RM174 juta) dan Majlis Perbandaran Kulai (RM111 juta).
“Sementara itu, empat PBT mencatat kutipan hasil antara RM50 juta sehingga RM100 juta iaitu Majlis Perbandaran Muar, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang dan Majlis Perbandaran Pengerang,” katanya ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Skudai) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, hari ini.
Ayub berkata, bagi Majlis Perbandaran Pontian, Majlis Perbandaran Segamat, Majlis Daerah Tangkak dan Majlis Daerah Kota Tinggi pula meraih hasil dalam lingkungan RM20 juta sehingga RM50.
Manakala, empat PBT lagi iaitu Majlis Daerah Yong Peng, Majlis Daerah Labis, Majlis Daerah Simpang Renggam dan Majlis Daerah Mersing mencatat kutipan hasil yang kurang daripada RM20 juta.
Tambah beliau, bagi meringankan beban golongan pembayar cukai, PBT tidak melakukan operasi sitaan atau rampasan bagi pemilik harta yang mempunyai tunggakan cukai harta.
“Antara langkah lain diambil termasuklah tidak mengenakan sebarang Denda Lewat Bayaran Cukai Harta sekiranya terdapat PBT yang mengenakan denda lewat, pemulangan dalam bentuk rebat akan diberikan pada tahun hadapan,” jelasnya. – UTUSAN