PASIR MAS: Pas akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji secara terperinci perkara berkait dengan akta antilompat parti, sekali gus mempelopori usaha merealisasikan undang-undang tersebut di negara ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, akta antilompat parti diperjuangkan Pas sejak sekian lama namun ditolak pelbagai pihak atas alasan melanggar hak asasi manusia.
Menurutnya, pendirian Pas terhadap isu tersebut bagaimanapun tetap konsisten dan jawatankuasa khas yang bakal dibentuk kelak akan merumus secara teliti mengenai tindakan-tindakan yang boleh diambil pada masa depan.
“Pelbagai cara telah kita buat untuk atasi masalah lompat parti namun bagi saya, selagi tiada akta itu (antilompat parti), sebenarnya kita tidak selamat.
“Kalau menang dua tiga kerusi, kita tiada jaminan bahawa orang itu akan kekal dengan parti yang dia menang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air meluangkan masa melakukan lawatan ke tapak projek membaik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pohon Celagi, di sini.
Baru-baru ini, Pas sekali lagi membangkitkan keperluan mewujudkan undang-undang berkaitan lompat parti dan kelmarin, DAP dilaporkan sedia bekerjasama memandangkan usaha tersebut memerlukan pindaan Perlembagaan dengan dua pertiga majoriti.
Tuan Ibrahim dalam pada itu menambah, selain akta antilompat parti, perkara lain perlu diberi perhatian ialah cadangan untuk mewujudkan Akta Dana Politik bagi menangani isu dana dari luar yang disalurkan kepada parti-parti politik.
Mengulas mengenai kerja-kerja baik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan, beliau berkata, projek menelan belanja RM45 juta itu berjalan lancar mengikut jadual dan dijangka siap menjelang Mei depan.
Katanya, projek tersebut membabitkan dua peringkat iaitu membina tebatan di tebing sungai serta membina laluan air dan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh, sebahagian besarnya dijangka siap lebih awal. – UTUSAN