KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Jawatankuasa Ombudsman Negeri Pahang (JONP) dalam memperkukuh kualiti pengurusan aduan berkaitan integriti dalam urusan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dilantik sebagai urusetia kepada JONP bagi mengadakan mesyuarat berkala untuk menangani isu-isu berkaitan di bawah bidang kuasanya.
Menurutnya, JONP adalah model diguna pakai Kerajaan Negeri Sarawak, yang merupakan perintis dalam kalangan negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan dalam memperkenal dan melaksanakannya.
“Jawatankuasa tersebut adalah yang pertama dicadangkan kepada kerajaan negeri oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri tahun lalu.
“Bermula dari penubuhan itu, usaha untuk merealisasikannya dibuat termasuk kajian lebih mendalam dilakukan oleh pegawai-pegawai Unit Integriti, Pejabat SUK Negeri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK) negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dengan keahliannya terdiri daripada SUK; Penasihat Undang-undang Negeri; Pengarah, Jabatan Audit Negara Negeri; Pengarah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri; Ketua, Unit Integriti, pejabat SUK negeri; dan, Ketua, Unit Audit Dalam, Pejabat SUK Negeri.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, JONP berperanan meneliti aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan serta etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri ini yang tidak dapat diselesaikan di peringkat jabatan atau agensi.
“Selain itu, ia turut melantik Pasukan Siasatan Dalaman (PSD) bagi aduan-aduan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang memerlukan siasatan terperinci.
“JONP juga akan meneliti hasil siasatan atau maklum balas aduan dan membuat keputusan berkaitan salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi yang melibatkan perkhidmatan awam negeri ini.
“Antata lain, bertanggungjawab mempertimbangkan dan meluluskan sebarang syor dan cadangan penambahbaikan pengurusan aduan salah laku berkaitan integriti penjawat awam negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE