MyIPO bantu patenkan inovasi YAM 2.0 ciptaan adik Maryam - Utusan Malaysia

MyIPO bantu patenkan inovasi YAM 2.0 ciptaan adik Maryam

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut dinamakan YAM 2.0 akan dipatenkan.

Ia selepas produk tersebut merangkul tiga pingat emas pertandingan The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada, baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih rakyat Malaysia, Maryam Muzamir, 11, yang mengetepikan 600 peserta lain dari 70 negara sekali gus menjadikannya sebagai pemenang termuda dalam pertandingan berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian adik Maryam dan akan menawarkan bantuan untuk mempatenkan hasil inovasinya  melalui agensi di bawah Kementerian, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Menurutnya, MyIPO berhubung dengan bapa pelajar terbabit minggu lepas untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi yang dihasilkan anaknya.

“MyIPO akan membantu untuk proses pemfailan paten bagi inovasi yang dihasilkan Maryam bagi memastikan inovasi beliau dilindungi,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, usaha mempatenkan hasil inovasi seperti itu bukan sahaja memberi pengiktirafan hak milik kreativiti kepada pencipta, malah melindungi ciptaan atau inovasi seseorang daripada diciplak.

Tambahnya, ia  juga memberi peluang kepada pencipta untuk meneroka potensi lebih luas seperti mengkomersialkan hasil ciptaan ke peringkat lebih tinggi.

“KPDNHEP menyeru pencipta-pencipta yang menghasilkan ciptaan dan inovasi dalam pelbagai bidang untuk mempatenkan hasil karya mereka sama ada pernah memenangi sebarang pertandingan atau sebaliknya, bagi membolehkan mereka memegang hak cipta secara eksklusif.

“Tahniah kepada adik Maryam dan semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada anak-anak muda lain untuk mengembangkan kreativiti menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.