PUTRAJAYA: Proses transformasi Parlimen Malaysia memerlukan masa yang lebih lama dan amat mustahil dapat dilaksanakan dengan begitu segera dalam tempoh hanya 100 hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku berkata, perubahan institusi itu juga bukan boleh dibuat senang secara sambil lalu.
“Isu transformasi Parlimen bukan perkara boleh diambil mudah atau dicapai singkat dalam masa 100 hari, mungkin perlu lebih panjang, tetapi ia memang boleh dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat sulung dengan pihak pengurusan ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini hari ini.
Ia susulan pertemuan julung beliau dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Parlimen minggu lalu yang membangkitkan kekesalan kerana institusi ini masih tidak bebas dan terikat termasuk tiada hak dalam penetapan perjawatan dan perbelanjaan operasi.
Dua bidang itu malah terus dipegang pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan sedangkan Parlimen ialah cabang utama negara selain Eksekutif dan Kehakiman.
Mengulas isu itu, Wan Junaidi berkata, isu transformasi bukan perkara baharu malah beliau sendiri membangkitkannya ketika menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 2009.
“Bahkan saya juga membentuk Jawatankuasa Khas Transformasi Parlimen yang disertai semua wakil parti politik dan selalu aktif bermesyuarat dari 2010 sehingga 2011 lalu,” katanya.
Hasil perbincangan tersebut, beliau kemudian menerbitkan buku bertajuk Evolusi Parlimen pada 2014 yang menyatakan lebih terperinci segala hasil mesyuarat dan idea perubahan itu termasuk meminda semula Akta Kuasa dan Keistimewaan Parlimen 1952 selain Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dianggap ketinggalan zaman serta tidak sesuai lagi.
Pindaan dan pengenalan undang-undang baharu itu juga tegas beliau, amat perlu di samping mengemas kini buku peraturan mesyuarat bagi mengekang tingkah laku jelik Ahli Parlimen.
“Transformasi ini bukan sahaja mengehadkan penyandang jawatan Perdana Menteri kepada hanya dua penggal, malah mengawal perangai anggota Parlimen ketika bersidang,” katanya.
Bukan itu sahaja kata Wan Junaidi, transformasi itu akan membendung gejala tidak beretika wakil rakyat yang sengaja melompat parti akibat manipulasi pihak tertentu demi meraih kuasa, termasuk kemungkinan diadakan pilihan raya kecil semula untuk kerusi tersebut atau diserahkan kepada parti asal yang menang atas mandat undi diberikan rakyat. – UTUSAN