PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membangkitkan usaha membantu peniaga kecil dalam mesyuarat pertama MPN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Beliau akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan lebih banyak sektor ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain kembali pulih sebagaimana sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
“Mari kita doakan yang terbaik untuk negara kita yang tercinta dan rakyat Malaysia yang bertungkus-lumus berusaha dan bekerja menjana pendapatan di mana sahaja anda berada. Moga anda dan kita sentiasa dilindunginya,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Pada minggu lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri dan keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu.
Muhyiddin sebelum ini melepaskan jawatan Perdana Menteri dan tempatnya digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan, beliau sangat gembira ketika berkunjung ke kawasan perniagaan di Setapak Jaya yang merupakan antara satu daripada kawasan atau wilayah ‘bebas berniaga’ di Kuala Lumpur yang menjual pelbagai aneka makanan, minuman, kudapan dan buah-buahan tempatan.
Katanya, hal ini kerana rata-rata peniaga ditemui menyatakan kehidupan mereka kembali bersinar apabila kerajaan membenarkan mereka kembali berniaga dan tambahan lagi hampir kesemua menceritakan sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin.
“Keceriaan yang terpamer di wajah peniaga kecil ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara semakin jelas.
“Saya amat menghargai usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai dalam tempoh ditetapkan di sekitar bandar raya tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE