MPN bincang isu pengangguran, pekerjaan - Utusan Malaysia

MPN bincang isu pengangguran, pekerjaan

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Masalah pengurangan gaji dan isu pengangguran termasuk dalam kalangan siswazah antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN), Isnin ini.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia ekoran masalah berkenaan telah menjadi tumpuan utama dalam negara dan keadaan itu dilihat semakin merosot sejak kebelakangan ini.

“Kesan daripada pandemik ramai yang sudah tidak bekerja atau diberhentikan. Sebab itu antara langkah yang kerajaan di bawah saya dahulu dan saya kira masih diteruskan sehingga kini ialah membantu pekerja menjaga pekerjaan mereka.

“Ini termasuk dengan memberikan subsidi kepada majikan bagi memastikan mereka tidak memberhentikan pekerja masing-masing. Tetapi, pengangguran dalam kalangan siswazah tidak hanya terjadi ketika waktu wabak Covid-19 melanda negara tetapi isu berkenaan sudah lama berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau pernah mempengerusikan Majlis Pekerjaan Negara sewaktu menjadi Perdana Menteri dan mengharapkan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskannya serta mencapai objektif dalam menjana 500,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

“Saya percaya kita semakin dekat dengan sasaran kerana Malaysia memiliki banyak peluang pekerjaan dan ini tidak mempertimbangkan pelaburan baru yang masuk ke negara ini yang melonjak sehingga 200 peratus daripada tahun lalu sekaligus membantu menjana lebih banyak peluang pekerjaan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut beliau, Majlis Pekerjaan Negara bukan sahaja menangani masalah pekerjaan tetapi membantu pekerja yang mengalami pengurangan gaji dalam meningkatkan pendapatan mereka.

“Ketika ini banyak sektor ekonomi dibuka, sekali gus akan membantu mereka mendapatkan tawaran kerja yang lebih baik termasuk gaji yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN