PETALING JAYA: Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan menepis dakwaan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mengatakan Parti Pejuang dan Warisan belum bersedia untuk menyatakan pendirian berhubung kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan.
Beliau sebaliknya mempersoalkan, mengapa PH tidak pernah mengajak parti Pejuang, Warisan dan Muda untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum bersetuju untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) hari ini.
“Saya rasa kenyataan Anthony Loke tidak tepat sama sekali kerana yang saya tahu sebelum PH hendak berjumpa untuk berbincang mengenai CSA dengan Perdana Menteri, parti-parti pembangkang yang lain tidak dimaklumkan sama sekali.
“PH memberi taklimat kepada Presiden Pejuang petang semalam itu bukan isunya, isunya ialah sebelum perjumpaan dengan Perdana Menteri, saya persoalkan adakah PH memaklumkan secara terperinci serta mengajak parti Pejuang, Warisan bersama Muda untuk sama-sama hadir dalam perjumpaan tersebut?
“Apakah PH buat makluman atau jemputan rasmi kepada parti-parti pembangkang yang lain ketika hendak berjumpa dengan Perdana Menteri?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga meminta Loke menunjukkan bukti bahawa PH telah memaklumkan seterusnya menjemput Pejuang, Warisan dan Muda untuk ikut bersama dalam rombongan berjumpa dengan Ismail Sabri.
“Dalam isu ini, saya tidak bercakap mengenai taklimat petang semalam tetapi apa yang saya pertikaikan kenapa tidak menjemput parti-parti pembangkang yang lain sebelum berjumpa dengan Perdana Menteri?
“Bukan saya yang buat kenyataan tidak berasas tetapi dalam isu ini saya yakin bahawa Anthony Loke tidak bercakap secara benar. Kenyataan beliau yang cuba hendak menegakkan ‘benang yang basah’ amat dikesali,” katanya.
Beliau mengakui, Pejuang terkejut melihat berita melalui saluran media sahaja yang menyatakan pemimpin-pemimpin PH yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berjumpa dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu ke arah menandatangani kerjasama dengan kerajaan.
“Jadi bagaimana Anthony Loke menyatakan bahawa PH telah memaklumkan serta mengajak Pejuang, Warisan serta Muda untuk bersama menghadiri dalam perjumpaan tersebut? Tolong jangan putar-belitkan kenyataan dan sepatutnya semangat kesetiakawanan secara tulen mahupun telus mesti dipupuk sesama kita.
“Kalau waktu hendak dapatkan undi, pandai datang mencari kawan-kawan untuk memohon bantuan tetapi setelah semuanya selesai kawan-kawan dilupakan. Lain kali peganglah kepada semangat berkawan secara jujur dan ikhlas,” katanya.
Khairuddin berkata, apa sahaja perjumpaan atau perbincangan dengan kerajaan mengenai kepentingan bersama mestilah dimaklumkan kepada kawan-kawan secara telus.
“Janganlah bersikap hanya untuk mempergunakan kawan-kawan bagi agenda kepentingan diri masing-masing sahaja. Ini adalah satu sikap yang tidak baik sama sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE