MBSP hilang lapan kakitangan gara-gara Covid-19 

MBSP hilang lapan kakitangan gara-gara Covid-19 

ROZALI Mohamud (depan, tiga dari kanan) bersama Jagdeep Singh Deo (depan, tiga dari kiri) ketika melancarkan Program Sejahtera Peniaga semasa Sambutan Hari Bandaraya kali kedua di Menara MBSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pandemik Covid-19 meragut lapan nyawa kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan 33 lagi warganya sedang bertarung dengan virus itu. 

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, tiga daripada mangsa yang berusia antara 28 hingga 57 tahun belum sempat divaksin, empat menerima dos pertama manakala hanya seorang telah lengkap divaksin. 

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh kakitangan serta warga Seberang Perai terus diberikan kekuatan untuk melawan Covid-19. 

“Sehingga hari ini juga, seramai 3,930 atau 98.6 peratus warga kerja MBSP telah divaksinkan. Anda (warga MBSP) mesti sihat dan teruskan menabur bakti kerana anda adalah ‘benteng’ Seberang Perai ketika ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Hari Bandaraya kali kedua yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, di sini hari ini. 

Dalam pada itu Rozali berkata, MBSP akan memperkenalkan Program Sejahtera Peniaga iaitu satu sistem permohonan bersepadu yang menggabungkan beberapa permohonan lain pada satu-satu masa.

Menerusi program itu jelasnya, pemohon bukan sahaja boleh memohon mendapatkan lesen perniagaan malah berpeluang mendapatkan Permit Sementara Bangunan, nombor patil atau alamat perniagaan serta pengurusan sampah yang teratur pada masa sama. 

Katanya, program yang julung kali diperkenalkan itu akan berlangsung sehingga penghujung tahun ini dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 peniaga kecil yang berada di luar kawasan pembangunan atau di kampung-kampung. 

“Program Sejahtera Peniaga ini merupakan salah satu daripada 13 inisiatif penambaikan yang dilakukan MBSP di bawah Proses Kejuruteraan Semula Perniagaan atau BPR bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan terhadap rakyat. 

“Penambahbaikan ini telah digubal dengan baik agar berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan semasa dan pasca Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN