PORT DICKSON: Mayat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas semalam ditemukan terapung di kawasan Pantai Bagan Kurnia, Lukut dekat sini, pukul 7.52 pagi tadi.
Mayat, Yap Fok Swe, 64, ditemukan orang awam dalam keadaan terapung dengan lengkap berpakaian selepas dia dilaporkan hilang sejak petang semalam, dipercayai terjatuh ke dalam laut dari bot yang dinaikinya ketika memasang jaring kira-kira satu batu nautika dari Pangkalan Jeti Kampung Kuala Lukut Kecil, di sini.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Penguasa Bomba, Mohamad Hafiz Ahmad Termizi berkata, pihaknya terus ke lokasi penemuan mayat tersebut selepas mendapat maklumat daripada orang awam.
“Pada pagi ini, ditemukan sebuah objek oleh orang awam di kawasan Pantai Bagan Kurnia dalam keadaan terapung. Mangsa dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap iaitu berseluar pendek dan berbaju t-shirt.
“Selepas mendapatkan makluman, kami menghantar pasukan dan didapati benar mangsa tersebut selepas mendapat pengecaman oleh ahli keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi operasi dan menyelamat di Pangkalan Jeti Kampung Kuala Lukut Kecil, Lukut, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE