JELEBU: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan 200 hektar tanaman buah dan sayuran klon menjelang hujung tahun ini daripada petani di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, sehubungan itu, menerusi program tersebut, setiap petani terpilih dibekalkan seperti benih buah dan sayur klon terbaik daripada MARDI.
Katanya, projek itu melibatkan tanaman antaranya seperti durian, belimbing, rambutan, kopi liberica, limau bali, kelapa dan keledek lembayung.
“Bagaimanapun projek ini hanya diberikan kepada petani yang benar-benar berminat dengan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan oleh MARDI kerana kami datang memantau dalam tempoh empat tahun ini.
“Petani hanya diberikan salah satu tanaman yang disenaraikan mereka berminat untuk diusahakan dan buat masa ini kami sudah mula kenal pasti petani yang terlibat,” katanya pada program sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin dan Penyerahan Benih Buah-Buahan Tempatan di Stesen MARDI Jelebu, Simpang Durian di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Tambah Mohamad Zabawi lagi, pihaknya menyasarkan seluas 1,000 hektar kawasan tanaman yang akan diusahakan petani di seluruh negara dengan menggunakan benih yang dibekalkan MARDI menjelang tahun 2025. – UTUSAN ONLINE