KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berunding dengan Singapura bagi pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini, kerjasama antara dua negara membolehkan skim perjalanan rentas sempadan (PCA) diperkenal bagi membenarkan pekerja yang berada di Singapura termasuk berstatus mastautin pulang bercuti di Malaysia.
Katanya, pekerja masih boleh kembali ke Singapura dan menyambung pekerjaaan setelah tamat bercuti melalui skim PCA.
Katanya, disebabkan situasi Covid-19 di kedua-dua buah negara masih belum reda, Malaysia dan Singapura akan terus melaksanakan peraturan kesihatan yang ketat bagi pergerakan rentas sempadan.
“Namun demikian, menjadi keutamaan kerajaan untuk terus berunding dengan Singapura berkenaan pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur bergantung kepada situasi kesihatan semasa ini termasuk cadangan pergerakan rentas sempadan secara harian.
“Saya difahamkan baru-baru ini Menteri Kesihatan kita (Khairy Jamaluddin) telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawatnya, Menteri Kesihatan Singapura (Ong Ye Kung) mengenai cadangan pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura.
“Jadi kita berdoa dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin sebab memang kedua pihak saling memerlukan pembukaan sempadan. Kalau ini berlaku, kita boleh meneroka pembukaan sempadan di Thailand contohnya dan mungkin juga negara lain,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN ONLINE