LPPR pandang serius isu penarikan kes-kes SPRM - Utusan Malaysia

LPPR pandang serius isu penarikan kes-kes SPRM

ABU ZAHAR UJANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) memandang serius isu penarikan semula kes-kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, dalam hal ini, LPPR tidak bertolak ansur demi menjaga imej, kredibiliti dan integriti SPRM. 

Sehubungan itu, kata beliau, berkaitan penarikan balik kes terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, LPPR telah mendapatkan pandangan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

“LPPR mengambil maklum bahawa penarikan balik kes berkenaan adalah berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan.

“Namun begitu, LPPR berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya.

Justeru, beliau menegaskan, pihaknya dan kesemua ahli jawatan kuasa LPPR SPRM tidak mahu agensi itu dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu, kita tidak mahu terus berulang. Prinsip Check and Balance yang diamalkan sekarang hendaklah dilaksanakan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab serta penuh integriti,” tegasnya.

Dalam pada itu, kata Abu Zahar, LPPR adalah satu daripada lima badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya selaku Pengerusi LPPR bersama enam lagi ahli-ahli lain telah mengadakan perbincangan dan sebulat suara menyatakan pendirian LPPR yang memandang serius berhubung isu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN