‘Lengan nak disuntik tak cukup' - KJ - Utusan Malaysia

‘Lengan nak disuntik tak cukup’ – KJ

KHAIRY Jamaluddin (berdiri kiri) bertanya khabar kepada orang ramai yang berada di HSB ketika melawat hospital itu hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kebanyakan pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara semakin sepi dan tidak semeriah seperti sebelum ini selepas hampir 80 peratus populasi dewasa yang berkelayakan menerima divaksin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keadaan itu menyebabkan jumlah vaksin yang dibekalkan sekarang melebihi daripada jumlah ‘lengan’ yang hendak disuntik.

Katanya, kadar vaksinasi di seluruh negara juga didapati sudah tidak mencapai kadar 500,000 sehari seperti sebelum ini.

“Sekarang ini bukan isu bekalan kerana vaksin memang mencukupi. PPV banyak vaksin tetapi ‘lengan’ yang hendak disuntik itu tak cukup.

“Kita dah berusaha sehabis mungkin dengan buka PPV, hantar tarikh temu janji untuk orang ramai dapatkan suntikan tetapi rata-rata PPV kini agak kosong,” katanya selepas lawatan kerjanya ke Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Beliau juga melawat meluangkan masa melawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Sehubungan itu, Khairy berkata, pihaknya akan terus melaksanakan program ‘outreach’ untuk mengenal pasti golongan tegar antivaksin.

Tambahnya, tumpuan tersebut juga  diberikan kepada kawasan dan negeri-negeri tertentu yang masih memiliki tahap vaksinasi rendah.

Jelasnya, pada masa ini, tinggal sebanyak 17 peratus penduduk dewasa Kedah yang berkelayakan belum mendapat suntikan tersebut.

“Contohnya kawasan Pendang dan Baling di Kedah serta negeri Sabah. Sekarang ini mungkin dah tak ramai nak keluar ke PPV jadi kita kena jejaki mereka yang belum divaksin ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan majikan dalam sektor tertentu untuk mengenakan syarat supaya pekerja mereka mendapatkan vaksinasi sebelum kembali dibenarkan bekerja.

Selain itu, katanya, perbincangan turut dijalankan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengenal pasti tindakan boleh diambil terhadap penjawat awam yang memilih untuk tidak divaksin.

“Di samping itu, kita minta juga kerjasama semua pihak seperti masjid contohnya supaya betul-betul melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan hanya membenarkan mereka yang sudah divaksin memasuki rumah ibadat tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya