Lelaki hayun sabit depan Balai Polis Gopeng positif dadah - Utusan Malaysia

Lelaki hayun sabit depan Balai Polis Gopeng positif dadah

TANGKAP layar seorang lelaki berdiri di atas kereta peronda polis sambil menghayun sabit di hadapan Balai Polis Gopeng, Perak, tular di media sosial.- UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Lelaki yang tular selepas bertindak agresif sambil menghayunkan parang dan sabit dalam kejadian di hadapan Balai Polis Gopeng di sini hari ini, didapati positif dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 61 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan heroin.

Katanya, semakan yang dilakukan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai 16 rekod lampau bersabit kes jenayah dan narkotik.

“Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, suspek memasuki kawasan Balai Polis Gopeng dengan menaiki motosikal sambil membawa sebilah parang dan sabit.

“Suspek kemudian melibas senjata yang dibawanya di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan balai tersebut di mana seorang pegawai polis telah bertindak cuba menenangkannya,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek kemudian meluru keluar ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun telah disekat oleh pihak polis di hadapan pagar balai berkenaan.

Katanya, sebuah kereta peronda juga diletakkan di tengah jalan bagi menghalang orang awam daripada melalui kawasan berkenaan.

“Suspek kemudian ke arah kenderaan berkenaan dan memanjat bumbung sambil melibas parang dan sabit yang dibawanya bagi mengelak daripada ditangkap.

“Bagaimanapun, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng tiba di tempat kejadian bagi membantu pihak polis melakukan tangkapan. Suspek berjaya ditahan apabila terjatuh di atas jalan akibat semburan air oleh bomba,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat awal, lelaki terbabit telah mengamuk dan merampas motosikal orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda sebelum menuju ke kawasan perumahan Kopisan dan Balai Polis Gopeng.

“Suspek ditahan bersama sebilah parang, sabit, sebuah motosikal dan empat anak kunci. Permohonan reman ke atas suspek dijalankan esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan kejadian itu tular di media sosial selepas dirakam orang awam di sekitar lokasi kejadian.

Berdasarkan rakaman tersebut, lelaki yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar jeans itu dilihat berdiri di atas bumbung kereta peronda polis sambil menjerit dan menghayun parang dan sabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya