Lebih 7,000 lesen nelayan ditarik balik - Utusan Malaysia

Lebih 7,000 lesen nelayan ditarik balik

AHMAD Hamzah ketika ditemui pemberita selepas program penyerahan sumbangan bakul makanan kepada nelayan di Parlimen Masjid Tanah di Kuala Sungai Baru, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jabatan Perikanan menarik balik lebih 7,000 lesen menangkap ikan selepas nelayan terlibat dikesan tidak mematuhi dasar dan prosedur perlesenan ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan l, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, jumlah itu direkodkan sepanjang proses pemutihan yang dilakukan sejak 2015 sehingga tahun lalu.

Katanya, ia dibuat bagi memberi peluang kepada permohonan baharu lesen menangkap ikan oleh individu lain, selain mengelak tuntutan elaun sara hidup oleh nelayan yang tidak aktif.

“Sejak 2015, lebih 7,000 lesen menangkap ikan telah dibatalkan selepas nelayan terbabit dikesan tidak lagi aktif termasuk gagal menghidupkan lesen lebih daripada setahun, tidak mahu meneruskan pekerjaan tersebut, telah meninggal dunia atau tidak selaras dengan dasar dan prosedur ditetapkan.

“Kita membuat proses pemutihan ini bagi memastikan semua nelayan tulen masih aktif, selain dapat meluluskan permohonan lesen baharu mengikut kesesuaian jumlah nelayan dengan hasil laut di kawasan perairan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program penyerahan sumbangan bakul makanan kementeriannya kepada nelayan di Parlimen Masjid Tanah di Kuala Sungai Baru di sini, hari ini.

Pada program tersebut seramai 34 nelayan daerah Alor Gajah turut menerima sijil lesen sampan khas.

Jelas Ahmad lagi, pada tahun 2015, sebanyak 56,211 buah kapal menangkap ikan direkodkan dan jumlah itu dikurangkan kepada 48,826 buah pada tahun 2020 di bawah proses pemutihan tersebut.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 3,629 lesen khas sampan menangkap ikan telah diluluskan di seluruh negara dengan kebanyakannya membabitkan nelayan laut.

“Di Melaka, kita menerima 300 permohonan lesen daripada nelayan laut, manakala nelayan darat seramai 200 orang.

“Bagaimanapun, setakat ini sebanyak 141 lesen khas sampan memancing ikan telah diluluskan, manakala bagi seluruh negara kita telah mengeluarkan 3,629 lesen khas berkenaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN