BUKIT MERTAJAM: Dua buah lagi pasar awam di Seberang Perai, di sini ditutup untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari bermula esok susulan berlakunya penularan pandemik Covid-19 di kawasan berkenaan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, pasar awam tersebut ialah Pasar Awam Taman Bagan di Seberang Perai Utara (SPU) dan Pasar Awam Permatang Tinggi di Seberang Perai Tengah (SPT).
Katanya, sehingga kini, hasil maklumat yang diterima daripada pejabat kesihatan daerah (PKD) di kedua-dua daerah mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya tiga kes positif Covid-19 di kedua-dua pasar awam terbabit.
“MBSP memahami kegusaran orang ramai berhubung kes positif yang berlaku di pasar-pasar awam ini dan kami juga sentiasa berhubung dengan PKD yang berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut serta perkembangan kes ini.
“Kita sudah meminta supaya ujian swab perlu dibuat bermula semalam dan hanya peniaga yang disahkan negatif dibenarkan berniaga semula mulai Selasa ini atau tarikh lain sekiranya penutupan sementara ini dilanjutkan oleh PKD,” katanya di sini hari ini.
Awal minggu ini, dua buah pasar awam yang juga masing-masing terletak di SPU dan SPT turut ditutup buat sementara waktu disebabkan penularan pandemik yang sama.
Pasar Awam Sri Bandar (SPU) ditutup selama empat hari bermula 28 Ogos lalu selepas sekurang-kurangnya tujuh kes positif Covid-19 dikesan di kawasan itu.
Sementara itu, sebuah lagi pasar awam iaitu Pasar Awam Kampung Baru di SPT pula ditutup selama tiga hari iaitu sehingga hari ini susulan terdapat sekurang-kurangnya tiga kes positif Covid-19 yang dikesan di situ sehingga 29 Ogos lepas.
Terdahulu, 10 buah pasar awam di Seberang Perai iaitu di Bagan Ajam; Bukit Mertajam; Chai Leng Park; Mak Mandin, Seberang Jaya, Taman Sri Rambai, Kepala Batas, Tambun Indah, Tasek Gelugor dan Bandar Tasek Mutiara juga terpaksa ditutup akibat penularan pandemik berkenaan sepanjang tahun ini sahaja. – UTUSAN ONLINE