PUTRAJAYA: Sebuah perkampungan masyarakat Orang Asli Pahang menjadi lokaliti tunggal di negara ini bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai lusa meliputi Kampung Paya Mengkuang, dalam Mukim Sanggang, Daerah Temerloh.
PKPD itu berkuat kuasa mulai Jumaat ini sehingga 30 September depan dan melibatkan sejumlah 700 penduduk perkampungan itu terdiri dari kalangan etnik Jahut, Jakun dan Semelai, ekoran kluster komuniti bermula seorang penduduk tempatan bergejala demam dan hilang deria rasa akhir bulan lepas sebelum disahkan positif Covid-19 namun telah menjangkiti 16 kes.
Perkampungan terletak 20 kilometer dari Temerloh itu pernah tular tahun lalu ekoran ketegasan para penduduk membina pagar penghadang untuk menghalang orang luar yang masuk ke situ.
Sekatan tersebut diperbuat daripada batang buluh dan pelepah kelapa itu dipasang di laluan utama masuk bagi mengelak kes penularan Covid-19 dibawa penduduk luar yang berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, hanya satu lokaliti yang sepatutnya ditamatkan PKPD pada esok, tetapi disambung lagi selama 14 hari iaitu di Kampung Dumpiring Bawah, Daerah Ranau, Sabah, namun tiga lokaliti lain di negeri tersebut berakhir secara serentak esok setelah dikenakan PKPD sejak 3 September lepas.
Lokaliti berkenaan ialah Perumahan Pekerja Ladang Mayvin 2, Telupid; Kampung Tagaroh, Kota Belud serta kawasan kuarters dan kilang papan Cargo Timber di Kampung Biah, Keningau; manakala selebihnya membabitkan tiga lokaliti lagi di tiga negeri lain antaranya Kampung Orang Asli Simpang Arang, Gelang Patah, Johor dan kuarters pekerja Sri Datai Mining., Mukah, Sarawak.
Sementara Kompleks Penjara Bentong termasuk kuartersnya di Bentong, Pahang yang dikenakan PKPD sejak 24 Julai, ditamatkan lebih awal berbanding sepatutnya pada Jumaat ini. – UTUSAN