Kutipan hasil Negeri Sembilan berkurangan - Menteri Besar

Kutipan hasil Negeri Sembilan berkurangan

AMINUDDIN Harun ketika menjawab soalan Mohamad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kutipan hasil yang diperoleh kerajaan Negeri Sembilan tahun ini setakat 31 Julai yang lalu menunjukkan penurunan berbanding kutipan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kutipan hasil sehingga 31 Julai lalu adalah berjumlah RM263,190,155.32 berbanding RM291,543,128.44 pada 31 Julai 2020.

“Hasil cukai sehingga 31 Julai 2021 mencatatkan kutipan berjumlah RM130,920,270.65 di mana ia yang lebih tinggi berbanding kutipan hasil cukai tahun 2020 untuk tempoh yang sama iaitu berjumla RM124,660,654.27.

“Hasil bukan cukai sehingga 31 Julai 2021 adalah RM82,202,009.82 di mana menunjukkan penurunan kutipan berbanding tempoh yang sama tahun 2020 dengan kutipan berjumlah RM110,576,217.58,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) mengenai kutipan hasil semasa kerajaan Negeri berbanding tahun 2020 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Menurut Aminuddin lagi, terimaan bukan hasil kerajaan negeri turut mencatatkan penurunan dengan kutipan sehingga 31 Julai 2021 adalah RM50,067,874.85 berbanding RM56,306,256.59 pada 31 Julai 2020. 

“Hasil bukan cukai menunjukkan penurunan yang ketara terutamanya melalui premium tanah dan permit tanah dan galian. 

“Ini memberi gambaran bahawa sektor hartanah telah mengalami kesan yang sangat ketara berikutan situasi ekonomi semasa. Tapak permit pasir dan kuari yang tidak dibenarkan  beroperasi turut memberi kesan kepada kutipan hasil akibat  daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan,” kata beliau lagi.

Menjawab soalan tambahan Mohamad mengenai apakah langkah yang diambil kerajaan negeri untuk menampung kedudukan kewangan kerajaan ekoran pengurangan kutipan hasil tersebut, Aminuddin berkata, kerajaan negeri kini juga sedang berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai sejumlah wang yang belum dibayar kepada kerajaan negeri termasuk bayaran premium tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Gemas, Tampin.

“Pada masa yang sama kita sedia maklum simpanan kita pada 2020 adalah sebanyak RM884.629 juta dan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM951.181 juta. Ada peningkatan dan kita boleh gunakan simpanan tapi dalam keadaan benar-benar perlu dan kita tidak akan sewenang-wenangnya gunakan duit simpanan itu untuk berbelanja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN