KUALA TERENGGANU: Hakisan serius sepanjang 80 meter dikesan di bawah jajaran paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah pada awal bulan lalu sehingga menyebabkan seramai 28,700 pengguna akaun terputus bekalan air selama 12 hari, dalam kejadian pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, keadaan itu dipercayai berpunca akibat aktiviti pengambilan pasir di lokasi kejadian.
Katanya, berdasarkan rekod aktiviti pengambilan pasir di sekitar Sungai Terengganu berhampiran Kampung Pulau Sekati itu sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu dengan melibatkan keseluruhan 12 pengusaha, namun hanya tujuh yang aktif.
“Siasatan mendapati bahagian bawah paip yang siap dibina pada 2006 pada kedalaman antara 1.5 hingga 2 meter itu kini lompong akibat hakisan.
“Bagaimanapun, kita tidak ada bukti kukuh untuk menuding jari kepada mana-mana pengusaha terlibat kerana kejadian hakisan ini mengambil tempoh masa lama untuk berlaku,” katanya ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepuh) dan Bazlan Abd. Rahman (BN-Batu Rakit) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Di luar persidangan, Mamad berkata, aktiviti pengambilan pasir yang dilakukan di sekitar lima kilometer di lokasi kejadian paip pecah berkenaan sudah dihentikan serta-merta dan kebenaran tidak diberikan lagi kepada mana-mana pengusaha di masa depan.
Sementara itu, beliau kesal kerana semua agensi kerajaan yang terlibat tidak memaklumkan tentang kewujudan jajaran paip dasar sungai berkenaan dalam laporan masing-masing sebelum meluluskan permohonan projek tersebut pada 2016 dan 2019.
“Saya nampak sedikit kealpaan atau mungkin juga tidak tahu atau tiada maklumat tentang kewujudan paip dasar sungai itu,” katanya.
Kejadian paip pecah berkenaan menyebabkan krisis air terburuk di Terengganu dari 2 hingga 13 Ogos dan krisis sama berulang pada 23 Ogos hingga 10 September membabitkan lebih 150,000 penduduk di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus. – UTUSAN ONLINE