SEREMBAN: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Ramlan Abdul Razak, 59, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini kira-kira pukul 1.35 pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat warga polis di negeri ini lebih-lebih lagi arwah merupakan seorang yang sangat berdedikasi dalam tugasnya.
Menurutnya, Allahyarham sebelum ini menjalani kuarantin disebabkan positif Covid-19 pada bulan lalu dan sudah disahkan negatif.
“Namun kesan dari pandemik berkenaan menyebabkan organ dalaman Allahyarham gagal berfungsi dengan baik. Punca kematian Allahyarham ialah Covid-19 class SB with secondary infection.
“Allahyarham bakal bersara sebulan lagi dan sudahpun berkhidmat dalam pasukan polis lebih 30 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad berkata, jenazah Allahyarham disolatkan di Surau IPK Negeri Sembilan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, dekat sini pagi tadi. – UTUSAN ONLINE